KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah telah mengadakan lawatan kerja ke PUSPAKOM Samarahan bagi meninjau secara dekat operasi pusat pemeriksaan kenderaan itu.
Lawatan ini bertujuan menilai tahap keberkesanan perkhidmatan yang disediakan serta mencadangkan penambahbaikan yang relevan demi memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan yang berkualiti, telus dan cekap.
Sepanjang lawatan, Datuk Hasbi telah diberikan taklimat ringkas mengenai operasi dan fungsi pusat berkenaan oleh Pegawai Operasi PUSPAKOM, Thomson Jutis.
Taklimat tersebut merangkumi aspek teknikal pemeriksaan kenderaan, sistem pengurusan pelanggan serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan pematuhan kepada standard keselamatan kenderaan.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili, Ketua Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Ahmad Abdul Hadi Hamzah serta beberapa pegawai kanan JPJ Sarawak. -EDISI UKAS