Projek Lampu Solar Terangi 33 Kawasan di Saribas, Perkukuh Keselamatan dan Keselesaan Penduduk

Disiarkan pada 23 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


BETONG: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas bakal menikmati suasana yang lebih terang, selamat dan kondusif pada waktu malam menerusi pelaksanaan projek pemasangan 841 unit lampu solar di 33 kampung dan penempatan.

Projek bernilai RM5 juta ini dilaksanakan di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dengan pelaksanaan teknikal oleh Majlis Daerah Betong (MDB).

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, pemasangan lampu solar ini bukan sahaja menambah baik sistem pencahayaan di kawasan luar bandar, malah turut memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan sosial.

“Projek ini akan memberi impak langsung kepada ribuan penduduk, khususnya dalam memastikan persekitaran kampung lebih terang pada waktu malam, seterusnya membolehkan pelbagai aktiviti komuniti dijalankan dengan lebih yakin dan selesa,” katanya.

Beliau menjelas demikian semasa menghadiri Majlis Pelancaran Projek Pemasangan 841 Lampu Solar di 33 Kawasan DUN Saribas, di sini pada Jumaat.

Katanya, projek ini disifatkan sebagai langkah proaktif kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, selaras dengan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak, Mohd Khairurani Mohd Ibrahim dan tetamu lain.-EDISI UKAS