PM Anwar Ucap Takziah Kepada Premier Sarawak Atas Pemergian Isteri

Disiarkan pada 23 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg atas pemergian isteri beliau, Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, awal pagi ini.

Menerusi hantaran Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berduka menerima khabar pemergian Allahyarham.

"Seluruh ingatan kami pada keluarga Allahyarhamah, terutama buat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang baru saya temui semalam. Moga terus sabar dan tabah menerima ujian ini. Al-Fatihah," kata Anwar. Perdana Menteri turut mendoakan agar roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi Allah SWT.

Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, 76, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada 3.34 pagi. Allahyarham merupakan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak kedua Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman.

Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek Negeri pada 10 pagi hingga 1 tengah hari ini, sebelum pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya, Kuching-BERNAMA

Kredit berita : BERNAMA