KUCHING: Suasana penuh hiba menyelubungi kediaman rasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg susulan pemergian isteri beliau, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang pada usia 76 tahun.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada jam 3.34 pagi tadi.
Pemergian beliau amat dirasai oleh seluruh rakyat Sarawak dan barisan pemimpin yang mengenalinya sebagai figura yang tenang, berdedikasi dan sentiasa menyokong perjalanan kepimpinan suami tercinta.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara tokoh negara yang terawal hadir menziarahi Premier Sarawak pagi ini bagi menyampaikan ucapan takziah secara peribadi.
Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman pada pukul 9 pagi dalam suasana penuh pilu oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian isteri Premier Sarawak, Allahyarhamah Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang sebagai satu kehilangan besar buat negeri dan negara, khususnya dalam landskap kebajikan dan pemerkasaan wanita di Sarawak.
Beliau menyatakan kekagumannya terhadap keperibadian Allahyarhamah yang dikenali sebagai seorang wanita lemah lembut, berjiwa penyayang serta aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
“Allahyarhamah bukan hanya seorang isteri pemimpin, tetapi pendamping setia yang menjadi tulang belakang dalam perjalanan politik dan kepimpinan Premier Sarawak.
“Sumbangannya kepada masyarakat, khususnya dalam memperkasa wanita dan komuniti, cukup besar dan dikenang ramai,” ujar beliau.
“Saya mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Semoga Premier Sarawak dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang tidak ternilai ini,” tambahnya.
Turut hadir menziarahi Premier Sarawak ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Datuk Dayang Morliah Awang Daud, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan kerajaan serta ahli keluarga terdekat.
Sementara itu, menurut kenyataan rasmi dari Pejabat Premier Sarawak, majlis penghormatan terakhir akan berlangsung di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, sebelum Allahyarhamah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya. -EDISI UKAS