Tema 'Segulai Sejalai' Perlu Terus Diguna Pakai, Jadi Lambang Perpaduan Malaysia

Disiarkan pada 23 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Tema 'Segulai Sejalai' daripada bahasa Iban yang bermaksud "seiring sejalan" diharapkan terus diguna pakai oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak yang mencerminkan semangat muafakat, kekeluargaan dan kesepaduan dalam menjadi asas keharmonian negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, kaum Dayak tidak lupa apabila Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim mengangkat tema tersebut untuk diguna pakai di seluruh Malaysia.

"Kami, masyarakat Dayak, masih mengingati majlis makan malam Gawai Dayak yang diadakan tahun lalu, yang berlangsung di sini.

"Perdana Menteri telah menyatakan bahawa tema Segulai Sejalai amat sesuai digunakan sebagai lambang perpaduan dan keharmonian antara semua rakyat Malaysia.

"Kami berharap agar ungkapan Segulai Sejalai akan terus digunakan oleh para pemimpin kita," katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Ahad.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah hadir menyerikan majlis tersebut.

Datuk Gerawat turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah memberu penghormatan kepada masyarakat Orang Ulu untuk merasmikan Sambutan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan pada tahun 2025.

Jelasnya, ini adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat dari kawasan Ulu untuk meraikan budaya mereka bersama-sama dengan masyarakat Bidayuh dan Iban.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri telah menyampaikan tiga Anugerah Ikon Dayak daripada masyarakat Orang Ulu.

Kategori Sukan telah dianugerahkan kepada Jonathan Nyepa manakala kategori bakat telah dimenangi Francisca Luhong James diikuti oleh kategori seni yang dimenangi oleh Mathew Ngau.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri Besar Selangor Dato Seri Amirudin Shari, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Majlis Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Sarawak) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Majlis Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 Datuk Gerawat Gala, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan, serta kenamaan yang lain. -EDISI UKAS