KUCHING: Pendekatan Kerajaan Persekutuan yang berteraskan semangat federalisme dan kekeluargaan disifatkan sebagai kunci penyelesaian kepada pelbagai isu pembangunan di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan semangat kerjasama erat itu berjaya memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.
Malah menurutnya, ia menjadi asas penting dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif berskala besar yang memberi impak langsung kepada pembangunan negeri dan negara.
"Antara pencapaian yang boleh dibanggakan ialah termeterainya Deklarasi Bersama antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), yang membuka laluan kepada penyelesaian beberapa isu strategik berkaitan sumber dan pembangunan tenaga.
"Seperti yang saya nyatakan, jika Sarawak maju, Malaysia juga akan maju. Inilah semangat kita dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, termasuk ketegangan politik dunia masa kini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Ahad.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi dan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim telah hadir menyerikan majlis penuh warna warni tersebut.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menjelaskan, Sarawak akan memainkan peranan sebagai hab utama dalam inisiatif grid kuasa ASEAN yang bertujuan memperkukuh jaringan tenaga serantau sekali gus memacukan kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga.
Katanya, Sarawak dipilih menjadi lokasi pertemuan ASEAN Senior Officials' Meeting on Energy (SOME) membuktikan keyakinan negara serantau terhadap keupayaan negeri itu terutamanya dalam melaksanakan Grid Kuasa ASEAN.
"Insya-Allah, dengan bantuan daripada Asian Development Bank (ADB), projek tenaga ini dapat dilaksanakan dan Sarawak akan memainkan peranannya sebagai satu-satunya hab tenaga yang menyerlahkan kedudukan Malaysia dalam ASEAN dari segi ASEAN Grid," katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri Besar Selangor Dato Seri Amirudin Shari, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Majlis Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Sarawak) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Majlis Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 Datuk Gerawat Gala, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan, serta kenamaan yang lain. -EDISI UKAS