Peruntukan & Tuntutan Yang Ditunaikan Untuk Sarawak Bukan Kerana Desakan & Ugutan: PM

Disiarkan pada 22 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan besar dan menunaikan beberapa tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sarawak bukan hasil desakan atau ugutan, sebaliknya atas prinsip keadilan dan tanggungjawab sebagai pemerintah yang adil kepada seluruh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan yang timbul di Semenanjung kononnya beliau telah dipaksa atau diugut untuk memberikan laluan mudah kepada Sarawak demi mempertahankan kuasanya.

Menurut beliau, terdapat juga segelintir elit kecil di Sarawak yang menuduh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta barisan kabinet Sarawak, seolah-olah tidak tegas dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Orang-orang ini membuat tuduhan tanpa melihat kepada fakta dan menyebabkan keresahan terus berlaku,” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai Peringkat Sarawak 2025, yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dato Seri Anwar menekankan bahawa proses rundingan bukanlah sesuatu yang mudah, namun jika berpegang pada prinsip bahawa semua wilayah mesti maju dan tiada kawasan sama ada di bandar, pinggir bandar, desa atau pedalaman harus dipinggirkan, maka semangat tersebut perlu dihayati tanpa mengira kaum atau negeri.

“Sebab itu dalam Belanjawan, saya nyatakan dengan terang keputusan kita untuk menyediakan peruntukan terbesar kepada sahabat kita di Sarawak, juga kepada negeri-negeri miskin di Semenanjung.

“Itu bukan kerana ugutan, tetapi kerana tanggungjawab kita sebagai pemerintah yang adil untuk menjamin keselesaan semua,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa tidak wajar mana-mana pihak diberi ruang untuk menyerang kepimpinan Sarawak secara melulu, seolah-olah kerajaan wilayah ini tidak bertegas.

Sebaliknya, beliau mengakui bahawa para pemimpin Sarawak sangat tegas dan keras dalam menyuarakan aspirasi rakyat wilayah itu.

“Saya tahu benar kerana saya sendiri mengetuai rundingan-rundingan peringkat akhir di mana perkara itu sukar, kerana ‘panglima-panglima’ Sarawak ini keras.

“Namun saya faham, mereka membawa suara dan keresahan rakyat yang telah lama berasa terpinggir,” tambah beliau. -EDISI UKAS