Samarahan Bike Challenge 2025 Tarik Penyertaan Antarabangsa, Lonjak Ekonomi Tempatan

Disiarkan pada 22 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Edisi kesembilan Samarahan Bike Challenge 2025 mencatat kejayaan membanggakan apabila menarik penyertaan ratusan peserta dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Brunei, China dan Kanada.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan kejohanan tersebut sebagai manifestasi kerjasama erat antara Pejabat Daerah Samarahan, Persatuan Berbasikal Sarawak, The Summer Shopping Mall, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi dan sukarelawan yang berganding bahu menjayakan penganjuran kali ini.

Dato Sri Abdul Karim turut memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus menyokong penganjuran Samarahan Bike Challenge bagi edisi ke-10 tahun hadapan dengan penekanan kepada aspek pelancongan sukan.

“Saya yakin kejohanan ini boleh diperbesarkan dengan penambahan kategori pertandingan dan peningkatan jumlah hadiah supaya lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara akan turut serta.

"Samarahan Bike Challenge bukan sahaja meriah dengan kehadiran peserta antarabangsa, malah memberi impak ekonomi positif apabila ramai peserta dan kru menginap di hotel dan homestay tempatan serta menggunakan perkhidmatan makanan dan pengangkutan di sekitar kawasan ini,” katanya semasa majlis perasmian Edisi Kesembilan Samarahan Bike Challenge 2025 di sini pada Ahad.

Dalam sidang media selepas majlis itu, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak mendedahkan bahawa penstrukturan semula pengurusan sukan berbasikal negeri selepas prestasi hambar di SUKMA tahun lalu, kini menunjukkan hasil positif.

“Antara tindakan tegas yang kita ambil ialah menggugurkan jurulatih-jurulatih lama. Hasilnya, wakil muda Sarawak berjaya menyumbang 14 pingat termasuk pingat emas dalam kejohanan velodrom kebangsaan di Johor,” katanya.

Beliau turut berbangga apabila Sarawak kini mula mencuri tumpuan dalam sukan velodrom, meskipun negeri ini masih belum memiliki kemudahan tersebut.

“Ini membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul dalam pembangunan sukan ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa cadangan pembinaan velodrom di Sarawak telah dibentangkan kepada Premier Sarawak dan kini dalam fasa perbincangan.

“Kita telah kemukakan cadangan itu dan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat demi pembangunan sukan berbasikal secara menyeluruh di negeri ini,” katanya lagi.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Pengelola Jawatankuasa Samarahan Bike Challenge 2025, Ahmad Abdul Razak, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Mona Octavia Sulai Albans Melling, Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak, Irawan Datu Sudarsono serta Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin.-EDISI UKAS