Pendaftaran OKU Buka Akses Kepada Pelbagai Manfaat

Disiarkan pada 22 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pendaftaran sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) bukan sekadar pengesahan status, tetapi merupakan gerbang utama kepada pelbagai kemudahan, insentif dan sokongan kerajaan yang dirangka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup golongan berkeperluan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendaftaran rasmi OKU memberi peluang kepada individu terlibat untuk menerima pelbagai manfaat dalam aspek pendidikan, latihan, pekerjaan, keusahawanan, perumahan, kesihatan dan pembangunan diri.

“Ramai masih belum menyedari bahawa pendaftaran OKU membuka pintu kepada sokongan menyeluruh daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Ia juga memudahkan kerajaan merancang dasar serta program yang lebih bersasar,” katanya semasa merasmikan Program Juh Daftar OKU Sarawak di Mydin Petra Jaya, pada Ahad.

Menurut beliau, data pendaftaran OKU yang tepat amat penting untuk kerajaan merangka polisi inklusif dan merancang peruntukan berdasarkan keperluan sebenar golongan OKU mengikut kategori masing-masing.

“Dengan statistik yang jelas, kita dapat melaksanakan intervensi awal terutamanya bagi kanak-kanak OKU seperti yang menghadapi masalah pembelajaran.

“Sehingga 31 Mei 2025, seramai 56,184 OKU telah berdaftar di Sarawak melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU).

“Antara kategori tertinggi ialah Masalah Pembelajaran (39.6%), diikuti Fizikal (28.8%) dan Mental (10.5%),”ujarnya lagi.

Tambahnya, antara manfaat utama pendaftaran OKU termasuklah akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan seperti bantuan kebajikan, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan; peluang mengikuti program latihan kemahiran dan keutamaan dalam pengambilan kerja; sokongan keusahawanan melalui Geran Pelancaran sehingga RM5,000; kemudahan mesra OKU di ruang awam; serta peluang penglibatan dalam sukan dan aktiviti sosial hingga ke peringkat antarabangsa.

Program Juh Daftar OKU ini turut berperanan sebagai pusat sehenti (one-stop centre) yang memudahkan urusan pendaftaran baharu, gantian kad, semakan status dan taklimat berkaitan manfaat OKU.

Ia melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendidikan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan.

Melalui usaha ini, kadar pendaftaran tahunan OKU menunjukkan peningkatan ketara daripada 3,990 pada tahun 2023 (8%) kepada 5,941 pada tahun 2024 (12%).

Namun, Dato Sri Fatimah mengakui masih banyak cabaran yang perlu ditangani, termasuk kurangnya kesedaran, stigma sosial, kesukaran akses di kawasan pedalaman dan anggapan bahawa prosedur pendaftaran adalah rumit.

“Kita tidak mahu sesiapa pun tercicir daripada menerima hak mereka. Kerjasama seluruh masyarakat amat penting untuk memastikan golongan OKU mendapat peluang yang setara,” tegasnya lagi.

Beliau turut menyeru agar semua pihak menyokong usaha kerajaan untuk mencapai sasaran pendaftaran 12% daripada jumlah penduduk Sarawak menjelang 2030, sejajar unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap KPWK, Alina Abdullah; Timbalan Pengarah (Negeri) Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Norhayati Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JKM) Malaysia, Burhanuddin Bachik; Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak, Dr. Rajesh Asnani serta tetamu lain.-EDISI UKAS