Projek Jalan Kampung Kupang ke Simpang Bajau Bernilai RM112.9 Juta Dijangka Siap September 2027

Disiarkan pada 22 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SARATOK: Kemudahan perhubungan penduduk luar bandar Saratok bakal melalui transformasi besar apabila projek pembinaan Jalan Kampung Kupang ke Simpang Bajau sepanjang 19.8 kilometer, bernilai RM112.9 juta kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2027.

Majlis pecah tanah projek berimpak tinggi itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi di Rumah Rengan Selambong, Saratok, pada Ahad yang turut dihadiri lebih 1,000 penduduk tempatan.

Menurut Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid, pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan seimbang di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak merupakan kunci utama dalam merapatkan jurang pembangunan luar bandar.

“Projek seperti ini membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat di kawasan pedalaman,” katanya.

Tambah beliau, apabila siap kelak, jalan tersebut akan memudahkan perhubungan penduduk Kampung Kupang ke Pasar Saratok, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan meningkatkan akses terhadap kemudahan asas.

Projek berkenaan turut melibatkan pembinaan lima jambatan kecil dan beberapa simpang jalan ke rumah panjang sekitar, dan kini sedang berjalan lancar mengikut jadual.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan jambatan baharu dari Kampung Kupang ke Pasar Saratok yang dianggarkan bernilai RM122 juta.

Jambatan ini akan memendekkan perjalanan dari Kupang ke Saratok selain membawa limpahan pembangunan kepada kawasan sekitarnya

Turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Senator Pele Peter Tinggom, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor dan ADUN Krian, Friday Belik.

Projek ini merupakan satu lagi bukti komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar demi kesejahteraan rakyat Sarawak secara menyeluruh.-EDISI UKAS