34 Pokok Ditanam di SK Stapang Anjuran SaraCarbon

Posted on 22 Jun 2025
Source of News: UKAS


MARUDI: Sebanyak 34 batang pokok telah ditanam di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Stapang, Marudi dalam satu program kesedaran alam sekitar bertemakan “Plant A Tree, Plant A Hope” yang dianjurkan oleh SaraCarbon dengan kerjasama pihak sekolah.

Penanaman pokok melibatkan pelbagai spesies termasuk 2 pokok tapang, 3 pokok belian, 17 pokok pelai dan 12 pokok buah-buahan tempatan.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh nilai kelestarian alam sekitar dalam kalangan generasi muda, di samping memberi impak langsung kepada ekosistem setempat.

Program ini turut diselitkan dengan sesi pendidikan alam sekitar bertajuk 'Say No to Plastic' yang memberi penekanan terhadap bahaya penggunaan plastik berlebihan termasuk kesan jangka panjang mikroplastik terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

Pihak SaraCarbon juga menyediakan sudut pameran pendidikan yang memberi maklumat lanjut tentang pemuliharaan alam dan inisiatif syarikat dalam bidang kelestarian. -EDISI UKAS