MIRI: Bangunan lama 'Open Air Market' di Bekenu kini sedang dinaik taraf menjadi Wellness Hub Sibuti iaitu sebuah pusat komuniti kesihatan yang bakal menjadi mercu tanda baharu dalam memperkasakan kesejahteraan masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan Sibuti dan sekitarnya.
Satu sesi lawatan tapak telah diadakan baru-baru ini yang disertai oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dato merangkap Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, bersama Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr. P. Raviwharmman Packierisamy serta pegawai-pegawai kanan KKM.
Dalam sesi tersebut, Dato Lukanisman menyatakan bahawa Wellness Hub Sibuti adalah contoh terbaik bagaimana kemudahan kesihatan boleh diperluas ke kawasan luar bandar tanpa meminggirkan mana-mana golongan masyarakat.
“Projek ini merupakan langkah proaktif KKM dalam memperkukuh jaringan promosi dan pencegahan kesihatan di kawasan luar bandar. Kita mahu semua rakyat, tanpa mengira lokasi, mendapat akses kesihatan yang menyeluruh dan berkualiti,” katanya demikian dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Beliau turut menyatakan keyakinan Wellness Hub Sibuti akan menjadi model rujukan kepada pembangunan pusat kesejahteraan kesihatan komuniti di kawasan luar bandar lain di seluruh negara pada masa akan datang.
Wellness Hub Sibuti akan menyediakan pelbagai perkhidmatan kesejahteraan termasuk penilaian faktor risiko kesihatan, perkhidmatan berhenti merokok, pengurusan berat badan melalui program IFitEr (I Fit and Eat Right), dan khidmat runding cara gaya hidup sihat.
Kemudahan yang akan disediakan di pusat ini termasuklah gimnasium, studio kecergasan, galeri infosihat, pejabat pentadbiran, bilik konsultasi, bilik mesyuarat dan studio multimedia. -EDISI UKAS