Bintulu Amateur Muaythai Challenge Kembali Meriahkan Sukan Tempur Pada 26-29 Jun Ini

Disiarkan pada 21 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bintulu Amateur Muaythai Challenge (BAMC) kembali mewarnai arena sukan tempur tanah air dengan penganjuran edisi ketiga berturut-turut yang bakal berlangsung dari 26 hingga 29 Jun 2025 di Naim Street Mall, Bintulu Paragon.

Edisi kali ini dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Bahagian Bintulu dengan kerjasama Persatuan Muaythai Sarawak dan sokongan rasmi daripada Naim Street Mall yang terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pentas utama pembangunan sukan Muaythai di Borneo dan rantau Asia Tenggara

Pengerusinya, Hardi Sapiei berkata, Tahun ini menyaksikan pelbagai kategori dipertandingkan termasuk MuaySport, Semi-Pro dan Pro.

Bagi menambah kemeriahan lagi, BAMC Vol. 3 turut menampilkan acara sampingan seperti Faceoff Wrestling Showcase dan aksi Superfight Pro yang dijangka mencuri perhatian para peminat.

"Salah satu pertarungan paling dinanti ialah kemunculan anak jati Bintulu, Aman Koboi dari kelab PS Muaythai, yang bakal menentang lawan hebat dari Thailand, Janasuk.

"Nama Aman Koboi semakin dikenali dalam arena tempur tempatan dan kini bersedia mencipta impak di gelanggang antarabangsa," katanya demikian dalam satu sidang media pada Sabtu.

Tambahnya, turut menghangatkan suasana ialah pertembungan antara Azhad dan wakil Rusia, Mehrubon Mardonoz serta perlawanan antara Omar Kuin menentang Danyal Johan dari Brunei dan Aiman Taro melawan Rachasy Lion King dari Thailand.

Menariknya, edisi kali ini turut bergandingan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu bagi menganjurkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) pada 28 Jun.

ANMS menawarkan pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan percuma, senamrobik, khidmat nasihat, kuiz, pameran interaktif serta ruang khas MyCHAMPION bagi menghargai penggiat kesihatan komuniti yang aktif di lapangan. -EDISI UKAS