BINTULU: Perpaduan bukan sahaja dipupuk di dalam negara malah setiap sekolah perlu menyemai dan mengekalkan semangat perpaduan antara kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, rakyat di negeri ini bertuah kerana mempunyai penduduk dengan kepelbagaian budaya daripada setiap kaum yang ada di negara Malaysia ini.
“Sempena Hari Perayaan Perpaduan ini, wajarlah pihak sekolah menganjurkan majlis ini dalam memperkenalkan sesebuah budaya antara kaum dalam kalangan murid dan komuniti luar melalui majlis ini.
‘Di samping itu, mengenali budaya setiap kaum dapat mewujudkan nilai saling menghormati khususnya dalam kalangan murid.
“Nilai saling menghormati yang dipupuk dan disemai ini secara tidak langsung mengajari kita tentang toleransi dan kerjasama antara kaum dalam kalangan murid,” katanya semasa berucap dalam majlis Perayaan Perpaduan & Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun SK St. Anthony (M) Bintulu pada Sabtu.
Dalam pada itu, pelaksanaan Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun sekolah ini diadakan bagi meraikan dan menghargai jasa-jasa pemimpin sekolah serta guru-guru yang telah menyumbangkan jasa dan tenaga untuk penubuhan sekolah ini.
Pada program itu, Johnny Pang telah menggunakan peruntukan wakil rakyat beliau untuk melaksanakan beberapa peningkatan infrastruktur di sekolah termasuk pembinaan baru pintu gerbang di pintu utama dan pembinaan baru tempat menunggu murid berbumbung.
Hadir sama Paderi Gereja ST. Anthony Rev. Fr. Andy William Lee Yoon Ming, Pegawai Perhubungan SK ST. Anthony Anita Duyok, Pegawai Perhubungan Polis Inspektor Fergie Anak Dim & Sarjan Roland Richard serta Guru Besar SK ST. Anthony Francis Dampa Inggor. -EDISI UKAS