SIBU: Komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang dalam memperkasa pendidikan di kawasannya diteruskan dengan penyalurkan dana berjumlah RM300,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar No. 1 Sibu.
Beliau mengumumkan berita gembira itu semasa merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Luar Bandar No. 1 Sibu bagi tahun 2025 pada Jumaat.
Katanya, dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu akan digunakan untuk pembinaan gelanggang serbaguna berbumbung, yang akan digunakan untuk aktiviti sukan, kokurikulum dan majlis rasmi sekolah.
“RM30,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada PIBG SMK Luar Bandar No. 1 Sibu bagi pelaksanaan program pembangunan pelajar serta kebajikan sekolah.
“Ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembentukan insan yang seimbang – dari segi akademik, sahsiah dan jasmani,” ujarnya.
Ir. Christopher Gira turut memberi perhatian kepada beberapa isu asas yang dihadapi sekolah, masalah tekanan air rendah yang akan dirujuk kepada Sibu Water Board (SWB) untuk tindakan segera.
“Isu liputan internet yang lemah yang menjejaskan pembelajaran digital dan pelaksanaan program sekolah telah diangkat kepada Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan kementerian berkaitan untuk tindakan penambahbaikan.
“Akses kepada Internet bukan lagi kemudahan tambahan, ia kini satu keperluan asas pendidikan,” tegasnya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam membangunkan modal insan, terutamanya di kawasan luar bandar.
Majlis turut dimeriahkan dengan beberapa acara istimewa yang memperlihatkan penglibatan aktif pelajar dan pengiktirafan kepada kecemerlangan.
Turut disampaikan sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa PIBG sesi 2023/2025 sebagai tanda terima kasih atas sumbangan mereka.
Ia termasuk penyampaian Anugerah Kecemerlangan kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM sesi 2023/2024 yang disempurnakan sendiri oleh Ir. Christopher Gira. - EDISI UKAS