MIRI: Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2025 bakal berlangsung meriah di bandaraya Miri dengan tujuh acara utama yang dirangka untuk diadakan dari 20 hingga 22 Julai ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2025, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, acara pembuka tirai adalah Karnival Jualan & Sarawak Talent yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Bandaraya Miri, dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
Menurutnya, pada 20 Julai, program Zumba Rakyat yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Miri dijadual bermula jam 7.15 pagi hingga 10.30 pagi di lokasi sama, dijangka menarik penyertaan ribuan peserta.
"Seterusnya, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain akan diadakan pada malam yang sama di Meritz Hotel, Miri dengan anjuran UNIFOR, manakala Majlis Kesyukuran Islam pula akan berlangsung pada 21 Julai jam 6 petang di Masjid At-Taqwa, Miri oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
"Acara Unity Walk pula dianjurkan Pejabat Residen Miri pada pagi 22 Julai bermula jam 7 pagi di Stadium Bandaraya Miri. Perarakan berjalan kaki ini melambangkan kesatuan dan kerjasama rakyat Sarawak ke arah masa depan inklusif dan mampan.
"Pada petang yang sama, Sesi Townhall bakal diadakan jam 2 petang di Imperial Hotel Miri. Program ini menjadi platform dialog terbuka antara kerajaan dan rakyat dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi mendengar aspirasi serta pandangan warga Sarawak.
"Acara kemuncak sambutan, Perhimpunan Hari Sarawak akan berlangsung pada malam 22 Julai jam 8 malam di Stadium Bandaraya Miri, dianjurkan oleh Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) bersama Pejabat Residen Miri," katanya dalam sidang media Sambutan Perayaan Hari Sarawak Peringkat Sarawak 2025 di sini pada Jumaat.
Dato Sri Lee menambah, bagi memastikan kelancaran acara-acara yang bakal berlangsung nanti, beliau selaku pengerusi Jawatankuasa Induk turut dibantu oleh enam Timbalan Menteri Bertanggungjawab, iaitu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Sarawak), Datuk Gerawat Gala dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr. Ripin Lamat.
Jelasnya, Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Jabatan Premier Sarawak telah dipertanggungjawabkan untuk
menyelaras acara tonggak Sarawak dengan kerjasama jabatan dan agensi di peringkat Sarawak.
"Justeru, marilah kita hadir beramai-ramai ke pelbagai acara yang telah disusun iaitu dari Karnival Jualan, Sarawak Talent, Unity Walk
hinggalah ke Perhimpunan Hari Sarawak sebagai tanda sokongan dan kecintaan kita terhadap negeri bertuah ini.
"Kehadiran anda semua bukan sahaja menyemarakkan sambutan, tetapi turut melambangkan semangat perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Sarawak yang bersatu di bawah panji Sarawak Maju Makmur," katanya.
Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah keenam-enam Timbalan Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Hari Sarawak 2025, Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, Pengarah UPPANS, Datu Hamdan Sharbini, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta pegawai-pegawai kerajaan lain. -EDISI UKAS