BINTULU: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) sedang mengintegrasikan program literasi digital ke dalam kurikulum utama SeDidik Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata usaha ini adalah sejajar dengan inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yng memberi tumpuan kepada menangani cabaran dan peluang era digital melalui integrasi.
Katanya, menerusi program ini, KPWK telah melengkapkan 117 guru dengan kemahiran asas literasi digital pada Februari dan Mac 2024.
“Bagi merealisasikan misi dan visi ini, SeDidik Sarawak telah bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Rolf Schnyder untuk melaksanakan Program Kanak-Kanak: Bits & Bytes.
“Inisiatif ini adalah bukti pandangan jauh pengurusan SeDidik dan dedikasi guru-gurunya. Kami menyedari kepentingan memupuk literasi digital dan tabiat penggunaan peranti digital yang produktif dalam kalangan kanak-kanak prasekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Hari Guru, Hari Raya Aidilfitri dan Pra-Gawai SeDidik Zon Bintulu di Bintulu pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut menekankan keperluan guru dan penjaga untuk menggandakan usaha mereka dan mencari penyelesaian yang lebih kreatif, inovatif dan praktikal bagi memastikan SeDidik Sdn Bhd memenuhi jangkaan semua pihak berkepentingan terutamanya ibu bapa.
“Pihak perlu berganding bahu untuk menyahut cabaran dan terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran untuk menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak secara berkesan.
“Begitu juga, keberkesanan kurikulum mesti kekal konsisten dan responsif kepada perkembangan semasa,” ujarnya lagi.
Terdahulu, beliau telah menyampaikan Anugerah Khas Pendidik 2024 SeDidik Sarawak kepada enam pendidik.
Hadir sama Timbalan Menteri KPWK Datuk Rosey Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, Pengurus Besar SeDidik Sarawak Ayub Dahari, Timbalan Setiasusaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah serta tetamu lain.-EDISI UKAS