KUCHING: Industri kraf di Sarawak memasuki era baharu apabila Majlis Kraf Sarawak (SCC) kini beroperasi secara rasmi dengan struktur organisasi yang lebih tersusun susulan pewartaan Ordinan Majlis Kraf Sarawak 2023 pada 1 Mei lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pewartaan itu membolehkan SCC berfungsi sebagai sebuah badan berstruktur di bawah kementeriannya dengan pengurusan dan hala tuju yang lebih jelas.
“Sebelum ini kita ada SCC, tetapi ia tidak mempunyai struktur yang betul. Sekarang, dengan ordinan yang telah digazetkan pada 1 Mei 2025, kita akhirnya mempunyai badan yang sah dan lengkap di bawah kementerian,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama SCC di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, SCC bukan sekadar memelihara warisan seni kraf tetapi akan memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi luar bandar, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengangkat kualiti produk tempatan.
Menurutnya, SCC merancang pelaksanaan program pensijilan dan penjenamaan kraf tempatan seperti “Sarawak Best” bagi menetapkan standard harga dan kualiti, di samping melindungi hasil tangan pengusaha kraf.
“Kita mahu produk kraf Sarawak ada standard dan nilai. Tidak adil bila bakul rotan yang ambil masa berminggu untuk dihasilkan dijual murah.
“Inilah peranan SCC, menetapkan penanda aras dan membantu promosi serta pasaran,” jelasnya lagi.
Selain itu, beliau berkata, SCC akan meneruskan penganjuran program seperti Borneo Global Craft dua tahun sekali, serta menjalin kerjasama dengan negara jiran dan syarikat korporat untuk memperkukuh jaringan pasaran kraf Sarawak ke peringkat antarabangsa.
“Kita lihat contoh seperti INA Craft Expo di Indonesia – ribuan penggiat kraf dipamerkan dua kali setahun.
“Kita di Sarawak juga mampu sampai ke tahap itu dengan perancangan strategik dan pembangunan menyeluruh, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Pada mesyuarat tersebut, Dato Sri Abdul Karim mengumumkan barisan penuh Ahli Lembaga SCC yang terdiri daripada individu berwibawa dalam pelbagai bidang termasuk tekstil, anyaman, reka bentuk, pembangunan komuniti serta penggiat kraf berpengaruh di peringkat serantau.
Katanya, pelantikan dibuat secara teliti dengan mengambil kira latar belakang etnik dan kepakaran, bagi memastikan perwakilan yang menyeluruh dalam landskap kraf Sarawak.
“Kita ada Orang Ulu, Melayu Melanau, Cina, Iban, Bidayuh… Jadi sekurang-kurangnya kita tahu semua orang diwakili,” jelasnya.
Antara yang dilantik dalam Lembaga SCC termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan selaku Timbalan Pengerusi, Setiausaha Tetap Kementerian Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datu Sherrina Hussaini, Pegawai Pentadbiran Khas kementerian, Datu Dr Rashidah Bolhassan, Pengasas Tanoti Sdn Bhd, Dato’ Jacqueline Fung, Ketua Pegawai Pentadbiran CENTEXS, Dr Nadianatra Musa, Naib Presiden Kanan Majlis Kraf Dunia Rantau Asia Pasifik, Edric Ong Liang Bin, Managing Trustee Yayasan Tun Jugah, Melia Linggi, Presiden Persatuan Kraf untuk Kemajuan Rakyat Luar Bandar Sarawak (SCARFS), Nur Rahmah Ranong Abdullah, Pengasas Batik Linut Sdn Bhd, Diana Rose dan Pengasas Punggu Borneo Sdn Bhd, Lucille Awen Jon.-EDISI UKAS