KUCHING: Proses pembinaan enam menara baharu di pekarangan Masjid Jamek Negeri Sarawak dijangka akan bermula pada Julai ini, sebagai sebahagian daripada usaha memperindah semula kawasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai berkata projek tersebut kini berada dalam peringkat akhir proses tender dengan penyertaan sebanyak 26 syarikat yang menunjukkan minat.
“Tempoh pemilihan syarikat untuk tender telah pun ditutup dan kini kita sedang menjalankan proses penilaian secara menyeluruh terhadap semua syarikat yang terlibat. In Shaa Allah, menjelang bulan hadapan usaha mendirikan menara baharu ini akan dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pengibaran Bendera Festival Maal Hijrah 1447H/2025M di Anjung Utama Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa reka bentuk enam menara baharu itu kekal seperti diumumkan sebelum ini oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, iaitu mengekalkan inspirasi seni bina Masjid Hagia Sophia di Istanbul, Turki dan Masjid Nabawi di Madinah.
“Empat menara tinggi dan dua menara bersaiz sederhana akan dibina tanpa sebarang perubahan reka bentuk seperti perancangan asal,” ujarnya.
Sebelum ini, menara tunggal berketinggian 99 meter di lokasi tersebut telah dirobohkan dan proses merobohkan struktur lama itu dijangka mengambil masa enam hingga tujuh bulan untuk diselesaikan sepenuhnya.
Pembinaan enam menara baharu ini dilihat bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu Masjid Jamek dan simbol kemegahan seni bina Islam di Sarawak.-EDISI UKAS