Raptai Perarakan Gawai Dayak 2025 Berlangsung Lancar

Disiarkan pada 20 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Raptai penuh sempena Perarakan Gawai Dayak 2025 berlangsung dengan lancar di sekitar Bangunan Tun Jugah, di sini pada Jumaat, sebagai persiapan menjelang acara kemuncak yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.

Raptai tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Gerawat Gala serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perarakan Gawai Dayak 2025, Kennedy Chukpai Ugon bagi meninjau persiapan akhir menjelang acara sebenar.

Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi I, Datuk Liwan Lagang, Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau serta ADUN Ba’kelalan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perarakan Gawai Dayak 2025, Baru Bian.

Sesi taklimat keselamatan dan pergerakan perarakan telah diadakan terlebih dahulu sebelum raptai dimulakan, melibatkan semua pasukan dan urus setia yang terlibat.

Perarakan yang dijadualkan esok akan menampilkan 90 kontinjen termasuk 12 perarakan kenderaan berhias daripada pelbagai suku kaum Dayak di Sarawak seperti Orang Ulu, Iban dan Bidayuh.

Perarakan akan bermula pada jam 2 petang dari Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Pentas Utama Kuching Waterfront, meliputi laluan sepanjang 1.2 kilometer.

Acara itu bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan dijangka menarik ribuan pengunjung tempatan serta pelancong domestik.- EDISI UKAS