KOTA SAMARAHAN: Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform penting dalam pembangunan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi khususnya dalam kalangan belia.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran kejohanan seperti ini memberi ruang kepada bakat-bakat muda untuk menyerlah dan digilap ke peringkat lebih tinggi.
“Saya amat bersyukur kerana kejohanan ini mendapat sambutan yang sangat baik, bukan sahaja dari 10 bahagian seluruh Sarawak, malah turut melibatkan penyertaan belia dan wanita.
“Ini membuktikan bahawa sepak takraw terus relevan dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda,” katanya semasa menyempurnakan majlis pembukaan kejohanan tersebut pada Jumaat.
Beliau menambah, kejohanan yang berlangsung dari 18 hingga 22 Jun ini bukan sahaja memperlihatkan semangat kesukanan, tetapi turut berperanan sebagai tapisan awal untuk mengenal pasti pemain berpotensi tinggi yang boleh diketengahkan, termasuk menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
“Kita lihat potensi besar dalam kalangan pemain muda yang bertanding kali ini, khususnya di bawah usia 20 tahun.
"Ini penting dalam usaha melahirkan pasukan SUKMA Sarawak yang lebih mantap menjelang edisi di Selangor kelak,” tambahnya.
Majlis turut dihadiri Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Dato Ismail Abang Saufi, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak serta Timbalan Presiden PSS, Mohammad Nizam Wang.
Beliau dalam pada itu turut berkesempatan menyaksikan perlawanan pembukaan antara pasukan belia Samarahan dan Betong. - EDISI UKAS