Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H/2025 Penuh Pengisian

Disiarkan pada 20 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sambutan Maal Hijrah 1447H/2025 anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) tahun ini bakal berlangsung penuh warna-warni dengan pengisian bermanfaat sepanjang minggu bermula 20 Jun hingga 29 Jun 2025.

Pelbagai program telah disusun bagi mengimarahkan sambutan termasuk Ceramah Perdana Maal Hijrah, Pertandingan Badminton, Pickleball, Boling, serta Pertandingan Berzanji dan Marhaban, selain pertandingan Nasyid, Majlis Kesyukuran serta Doa Awal Tahun.

Lebih menarik, penganjur turut menyediakan pelbagai aktiviti santai untuk seisi keluarga seperti Pameran Foodies Street dan Flea Market, Pameran Infokiosk, Program Kesihatan serta Pameran Badan Beruniform yang akan bermula pada 27 Jun sehingga 29 Jun 2025.

Hadiah cabutan bertuah yang lumayan seperti pakej Umrah dan motosikal juga disediakan kepada pengunjung bertuah sepanjang minggu festival.

Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata kemuncak acara akan berlangsung pada 29 Jun melalui Majlis Penangguhan Rasmi Festival Maal Hijrah yang dijadual disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Perasmian Pengibaran Bendera Festival Maal Hijrah 1447H/2025 di Anjung Utama Masjid Jamek Negeri Sarawak pada Jumaat.

Orang ramai dijemput hadir dan turut serta dalam mengimarahkan sambutan penuh keberkatan ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai atur cara dan pengisian program, sila layari laman rasmi festival di www.fmhlakmns.com. - EDISI UKAS