BINTULU: Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming menyeru agar semua rakyat memberikan sokongan terhadap inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sr (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam membangunkan Sarawak.
Jelasnya, sokongan ini membolehkan Sarawak mendapat autonomi dalam sektor pendidikan, kesihatan dan pelancongan.
“Usaha tersebut adalah untuk dinikmati rakyat Sarawak terutamanya generasi muda yang akan menjadi pelapis pada masa hadapan,” katanya dalam majlis Mantar Gawai 2024 di Bintulu pada Ahad.
Dalam pada itu, Johnny Pang menjelaskan beliau bangga akan keunikan Sarawak yang pelbagai kaum, bangsa dan agama tetapi tetap bersatu hati dalam meraikan perayaan seperti Mantar Gawai bersama-sama.
Hal itu mengingatkan momen beliau meraikan Hari Raya bersama komuniti di Kampung Jabai, di mana kumpulan pemuzik berbangsa Melayu menyanyikan lagu dalam Bahasa Cina.
“Kepelbagian etnik di Sarawak tidak menjadi penghalang untuk setiap kaum belajar sesuatu yang baharu mengenai kaum yang lain,” ujar beliau.
Hadir sama ADUN Jepak Iskandar Turkey, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Angeline Stephen Raja, wakil Pegawai Daerah Bintulu Seavers Miut, Penghulu Dato Chai Shong Phian serta tetamu lain.-EDISI UKAS