KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bakal menganjurkan edisi ke-11 Sarawak Career and Training (SCaT) Fair 2025 pada 5 dan 6 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Penganjuran kali ini merupakan kerjasama strategik MEITD bersama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan sokongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Dijadual hadir merasmikan acara berprestij ini ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dalam sidang media khas di BCCK pada Jumaat, SCaT Fair merupakan platform tahunan terbesar Sarawak dalam bidang pendidikan dan kerjaya sejak mula diperkenalkan pada 2012 oleh Unit Pembangunan Tenaga Kerja, Jabatan Premier Sarawak.
“Dengan sokongan PERKESO, SCaT Fair 2025 turut akan mengadakan sesi temu duga terbuka yang menawarkan 1,561 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.
“PERKESO juga akan menganjurkan Career Exploration Session untuk membantu pencari kerja khususnya pelajar membina hala tuju kerjaya yang lebih jelas,”ujarnya.
Tahun ini juga menyaksikan pengenalan Zon Minyak & Gas yang dikendalikan oleh PETROS, menampilkan penyertaan syarikat gergasi industri seperti PETRONAS, ENEOS Xplora, Mubadala, Brooke Dockyard, Petra Energy dan lain-lain.
Tambahnya, Edisi 2024 yang berlangsung di Kuching dan pertama kali diadakan di Sibu berjaya menarik seramai 29,068 pengunjung, dengan 20,240 orang hadir di Kuching dan 8,828 orang di Sibu.
Acara ini jelasnya, dijangka menarik lebih 18,000 pengunjung secara fizikal dan 50,000 tontonan dalam talian dari seluruh Sarawak.
Menambah tarikan kepada pengunjung, SCaT Fair turut menyediakan pelbagai program sampingan termasuk Sarawak Initiative Information Wall, Sarawak Mega Quizzes Challenge, STEM Playground, Skills Master Competition, Sarawak Blockchain & Crypto Day 2025, Sarawak Rocketeer CAN-SAT Challenge, Planetarium Sultan Iskandar Dome, Kid’s Fun Zone, Youth Icon Speaker Corner serta S-CaT Kamboh Stage.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.-EDISI UKAS