Program PANDei Lengkapi Wanita Luar Bandar Sebuyau Dengan Kemahiran Digital

Disiarkan pada 20 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Sebuyau telah menganjurkan Program PANDei: Peniaga Wanita Era Digital bagi memperkasakan masyarakat luar bandar, khususnya golongan wanita dengan kemahiran asas digital dan akses kepada sumber pembelajaran dalam talian yang mesra pengguna.

Program selama dua hari yang diadakan di Dewan Pembangunan Sebuyau ini menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat termasuk belia dan warga emas yang menyokong usaha memperkukuh tahap celik digital komuniti luar bandar.

Antara pengisian program termasuk pengenalan kepada platform teknologi seperti penggunaan Microsoft Co-Pilot (Image) untuk penghasilan visual kreatif, penciptaan kandungan promosi perniagaan melalui Canva (poster dan video), serta penggunaan ChatGPT bagi pencarian maklumat, penciptaan jenama dan penulisan kapsyen yang menarik.

Turut diberi penekanan ialah aspek keselamatan siber, termasuk pendedahan mengenai penyebaran berita palsu dan langkah-langkah keselamatan dalam talian.

Menurut wakil Pustaka Negeri Sarawak, Muhd Qhairulhafiz Endera, pihaknya komited untuk memastikan semua lapisan masyarakat termasuk dari kawasan luar bandar mempunyai akses kepada ilmu digital serta berupaya memanfaatkannya dalam kehidupan harian dan kerjaya.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ke arah menjadikan Sarawak sebagai negeri digital menjelang tahun 2030 dan memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pendigitalan.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik dalam sesi pembentangan, yang telah disempurnakan oleh wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Ajis Ahmad dan disaksikan oleh Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau, Asli Yahya.-EDISI UKAS