Samarahan Rangkul Juara Sepak Takraw Piala Sarawak 2025

Disiarkan pada 20 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Pasukan Samarahan menamatkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 dengan penuh bergaya apabila muncul juara kategori berpasukan dalam kejohanan yang melabuhkan tirainya di Stadium Tertutup Kota Samarahan, pada malam Khamis.

Sebagai pasukan tuan rumah, Samarahan tampil dengan semangat juang luar biasa apabila berjaya menumpaskan juara bertahan, pasukan Kuching dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan akhir yang cukup sengit dan mendebarkan.

Pasukan Kuching bermula garang apabila memenangi set pertama 2-0, namun Samarahan tidak mudah mengalah dan bangkit memperkemas strategi untuk menyamakan kedudukan selepas memenangi set kedua 2-0.

Aksi dramatik berterusan dalam set penentuan apabila Samarahan menundukkan Kuching 2-1, sekali gus merampas gelaran juara edisi kali ini.

Dengan kemenangan tersebut, Pasukan Samarahan bakal membawa pulang wang tunai RM4,000, piala pusingan, piala iringan serta pingat.

Sementara itu, Kuching selaku naib juara akan menerima wang tunai RM2,000, piala dan pingat sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka.

Tempat ketiga bersama menjadi milik Pasukan Serian dan Bintulu yang tewas di peringkat separuh akhir dan masing-masing akan menerima ganjaran wang tunai RM1,000.

Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan dalam majlis penutupan rasmi kejohanan pada Ahad ini, oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut menyaksikan aksi akhir itu ialah Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) merangkap Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan, Mohammad Nizam Wang bersama Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) merangkap Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sibu, Idris Alphonso De Rozario serta barisan Exco Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS).

Tumpuan kejohanan kini beralih kepada saingan kategori terbuka iaitu regu lelaki, regu belia dan regu wanita yang dijadual bermula esok 20 Jun 2025.

Saingan kategori regu belia akan memulakan aksi seawal jam 8.30 pagi, manakala kategori regu lelaki dijangka berlangsung pada sebelah petang hingga malam.

Penyertaan daripada 10 bahagian seluruh Sarawak dalam ketiga-tiga kategori ini bakal menyaksikan gabungan pemain muda dan berpengalaman, sekali gus menjanjikan persaingan yang menarik.

Aksi dalam kategori regu belia dijangka menjadi tumpuan utama memandangkan ia melibatkan bakat baharu dari pelbagai daerah yang berpotensi diserap menyertai pasukan negeri bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 berlangsung selama lima hari bermula 18 hingga 22 Jun disertai 10 pasukan dari seluruh bahagian negeri ini dalam usaha memperkasakan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi serta mencungkil bakat tempatan secara berterusan.-EDISI UKAS