Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah Perkukuh Ukhuwah Dan Jati Diri Ummah

Disiarkan pada 19 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BALINGIAN: Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah Tahun 1446H/2025 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Balingian disifatkan sebagai medan penting dalam memperkukuh kekuatan rohani dan perpaduan umat Islam di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penganjuran majlis saban tahun ini membuktikan keutuhan syiar Islam serta kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan ummah dan keharmonian masyarakat.

“Objektif utama majlis ini adalah untuk merealisasikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memperkasakan kesatuan, kemajuan ummah dalam masyarakat dan perpaduan dalam membentuk negara yang harmoni khususnya dalam kalangan umat Islam di Sarawak,” ujarnya semasa menyempurnakan majlis penangguhan rasmi Tilawah pada Rabu.

Menurut beliau, majlis Tilawah bukan sekadar untuk memperdengarkan kemerduan suara, sebaliknya menyampaikan mesej dan makna al-Quran yang wajar difahami dan dihayati oleh seluruh umat Islam.

Abdul Yakub turut menyeru umat Islam agar menjadikan budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.

“Pendidikan al-Quran di peringkat keluarga, terutamanya melalui Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA), disarankan bagi melahirkan generasi yang cintakan al-Quran serta mendapat keredaan Allah SWT,” tegasnya.

Seramai sembilan peserta menyertai pertandingan kali ini, terdiri daripada tiga Qari dan enam Qariah.

Johan qari disandang oleh Sait Dom, diikuti Musa Basri sebagai naib johan dan Drahman Satan di tempat ketiga.

Bagi kategori qariah, Meryam Bol muncul sebagai johan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Syarifah Ruqayah Syed Zainon dan Habibah Hanapi.

Tiga peserta lain iaitu Fauziah Mahali, Aisah Sa’di dan Lauyah Norsidi turut menerima saguhati.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fridah Osman Adenan, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balingian Abdul Malik Talip, Pemanca Mohamad@Jali Kawi, Penghulu Harbi Bakir dan Nurazman Abdullah sebagai ketua hakim.-EDISI UKAS