Bintulu Port Prihatin Semarak Gawai Dayak Bersama SIDS Kemena

Disiarkan pada 18 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


BINTULU: Sebanyak 67 ibu dari kalangan ahli Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Kemena menerima sumbangan bakul makanan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bintulu Port Prihatin sempena sambutan Gawai Dayak 2025.

Menurut Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Bintulu Port, Maslihah Tioh, program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Yayasan Bintulu Port yang telah melaksanakan pelbagai program CSR sejak lebih sedekad lalu.

“Bintulu Port Prihatin bukan sahaja platform untuk menyantuni komuniti, malah menjadi jambatan yang menghubungkan kami dengan pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.

Tambah beliau, sempena sambutan Gawai Dayak kali ini, pihaknya berkolaborasi bersama SIDS Kemena dalam menyampaikan sumbangan kepada kaum ibu, yang merupakan tulang belakang keluarga dan masyarakat.

“Sebelum ini, kita turut bekerjasama dengan gereja sempena Krismas serta Tua Pek Kong bagi sambutan Tahun Baru Cina.
“Usaha ini bukan sekadar meraikan perayaan, malah mendekatkan kami dengan komuniti secara lebih mesra dan menyeluruh,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian sumbangan di Peace Garden, Bintulu, pada Selasa.

Maslihah turut berharap agar sumbangan tersebut mampu menceriakan sambutan Gawai Dayak serta mengeratkan tali silaturahim antara pihak korporat dan komuniti setempat.

Sementara itu, Pengerusi SIDS Kemena, Jenny Bangga merakamkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak Bintulu Port terhadap kaum ibu yang menjadi penerima sumbangan.

“Kami amat berterima kasih kepada Bintulu Port atas sokongan ini. Harapan kami agar kerjasama ini dapat diteruskan, bukan sahaja dalam program Gawai, malah dalam inisiatif berkaitan pendidikan dan pembangunan ekonomi wanita Dayak pada masa akan datang,” ujarnya.

Program ini mencerminkan komitmen Bintulu Port untuk terus memainkan peranan aktif dalam membina masyarakat yang inklusif dan harmoni melalui penglibatan bersama komuniti pelbagai kaum di Sarawak.-EDISI UKAS