Sarawak Rancang Jadi Tuan Rumah World Robotics Olympiad

Disiarkan pada 18 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk membida sebagai tuan rumah World Robotics Olympiad (WRO), kejohanan robotik berprestij di peringkat antarabangsa, dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai pusat kecemerlangan bakat digital dan inovasi serantau.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, langkah ini merupakan sebahagian agenda jangka panjang Sarawak dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan menarik penyertaan bakat muda dari seluruh dunia.

“Kita mahu membawa minda muda terbaik ke Sarawak dan menunjukkan bahawa negeri ini sedang berkembang sebagai pusat bakat digital dan inovasi,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kit Robotik sempena National Robotic Competition (NRC) di LCDA Tower, The Isthmus, pada Rabu.

Sebagai sokongan awal, kementeriannya telah meluluskan geran berjumlah RM666,000 bagi memperkasakan inisiatif robotik termasuk pertandingan dan pembangunan program pendidikan di sekolah-sekolah seluruh negeri.

Majlis penyerahan tersebut turut menjadi sebahagian daripada program tahunan kementerian - STEM Trailblazers Sarawak - yang digerakkan di zon utara, tengah dan selatan negeri untuk meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi.

Mengulas lanjut, Dato Sri Roland berkata Sarawak juga akan menawarkan program pra-ijazah dan ijazah berteraskan STEM di universiti milik negeri bermula 2026, sebagai sebahagian strategi pembangunan modal insan digital.

“Kita mahu anak muda kita bersedia untuk dunia digital. Semua kursus akan berfokuskan STEM,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan pendidikan berteraskan teknologi tidak hanya untuk melahirkan jurutera dan saintis, malah penting untuk membina tenaga kerja masa depan yang berkemahiran tinggi, celik teknologi dan mampu bersaing secara global.

“Negara seperti Jerman, Australia dan Korea Selatan berjaya kerana mereka menekankan pendidikan teknikal.
"Kita juga mahu lihat perkara sama berlaku di Sarawak,” tambahnya lagi.-EDISI UKAS