Lawatan Pengerusi MPKS ke Perpustakaan Desa Kukuhkan Jalinan Komuniti

Disiarkan pada 18 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali bersama Ahli Jawatankuasa Tetap Pembangunan Komuniti dan Pelancongan telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa Perpustakaan Desa di bawah seliaan MPKS yang terletak di Asajaya, Muara Tuang dan Sadong Jaya.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau kemudahan sedia ada serta pengurusan Perpustakaan Desa di kawasan terlibat, di samping memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan penghubung komuniti setempat.

Sepanjang lawatan, rombongan MPKS turut beramah mesra dengan atendan perpustakaan serta pengunjung yang hadir, selain mendengar pandangan dan cadangan berkaitan penambahbaikan perkhidmatan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MPKS dalam memperkasa kemudahan awam di peringkat akar umbi serta menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS