TRACE 2025 Perkasa Modal Insan, Buka Peluang Kerjaya Anak Sarawak

Posted on 18 Jun 2025
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Program Talent Recruitment and Career Exhibition (TRACE) 2025 terus memperkukuh peranannya sebagai platform strategik pembangunan modal insan apabila berjaya menghimpunkan penyertaan aktif mahasiswa, graduan dan pencari kerja dari seluruh Sarawak.

Majlis penangguhan rasmi disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis yang mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Dalam ucapannya, Datuk Francis menyifatkan TRACE 2025 sebagai medium penting dalam memperkasa mahasiswa secara holistik di samping menyediakan platform padanan pekerjaan secara langsung antara pencari kerja dan para majikan.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan, malah membuka ruang strategik kepada peserta untuk membina jaringan kerjasama dengan pemain industri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi merupakan tunjang kepada kemajuan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi, termasuk tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi dan ekonomi digital.

Datuk Francis menyeru para graduan untuk terus menjadi agen perubahan serta menyumbang kembali kepada masyarakat dan negeri.

“Ilmu, kemahiran dan pengalaman yang anda peroleh bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk komuniti, kampung dan negara,” ujarnya.

TRACE 2025 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), UNIMAS, menghimpunkan pelbagai peluang kerjaya merentas sektor strategik.

Program ini menyaksikan penyertaan lebih 50 syarikat dan organisasi dari pelbagai bidang termasuk teknologi, kewangan, pertanian moden dan keusahawanan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Ts Dr Al-Khalid Othman serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Dr Siti Noor Linda Taib.-EDISI UKAS