KUALA RAJANG: Kawasan Sebayang dan Tusok di DUN Kuala Rajang dilihat berpotensi besar untuk dimajukan sebagai salah satu hab pengeluaran padi utama di Sarawak.
Ini dijangka dapat direalisasikan melalui pelaksanaan projek pembinaan ban atau benteng penghalang air masin yang menelan kos hampir RM400 juta.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, projek tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran beras tempatan, malah menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk setempat.
“Projek Ban ini yang menelan belanja hampir RM400 juta bukan sahaja dapat mengatasi masalah air masin yang menjejaskan pertanian, malah membuka potensi kawasan Sebayang dan Tusok untuk diusahakan secara besar-besaran bagi tanaman padi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengerami Ngiling Bidai DUN Kuala Rajang di Dewan Masyarakat Sebayang, pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu menambah, pelaksanaan projek ini memerlukan kerjasama erat daripada semua pihak bagi memastikan polisi kerajaan dapat dijayakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abdul Wahab. -EDISI UKAS