Kerajaan Sarawak Fokus Kurangkan Import Beras

Disiarkan pada 18 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import beras, selaras dengan usaha meningkatkan tahap sara diri makanan negeri ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Sarawak kini hanya mencatatkan 32 peratus tahap sara diri beras (SSL), manakala selebihnya diimport dari negara lain seperti Vietnam dan India.

Kebergantungan tinggi ini disifatkan beliau sebagai risiko besar terhadap keselamatan makanan sekiranya berlaku sekatan eksport oleh negara pembekal.

“Kalau negara-negara ini kurangkan eksport atau tidak dapat eksport, kita akan ada masalah. Sebab itu kita sangat serius dalam mengurangkan kebergantungan kepada import makanan,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak di sebuah hotel di Kuching, Rabu.

Selain itu, beliau turut menjelaskan antara langkah penting yang sedang dilaksanakan termasuk mengenal pasti dan menggazetkan kawasan sesuai untuk tanaman padi di Limbang, Lawas dan beberapa lokasi lain.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa meskipun tanaman kelapa sawit lebih menguntungkan dari segi pulangan namun ia bukan makanan asas.

“Kita tidak boleh makan sawit. Sebab itu kita perlu fikirkan kaedah baharu seperti pertanian hibrid dan mekanisasi. Ini akan membantu kita menghasilkan lebih banyak dengan kawasan yang kecil,” ujarnya.

Kerajaan negeri juga menggalakkan pengeluaran makanan alternatif seperti ubi kayu dan sagu bagi memastikan sumber makanan sentiasa mencukupi dalam keadaan global yang tidak menentu.

Pada masa yang sama, pembangunan modal insan dalam sektor pertanian turut diberi keutamaan menerusi penubuhan Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Sarawak yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada transformasi pertanian Borneo.

Seiring usaha tersebut, UPM Sarawak yang akan ditubuhkan kelak dijangka menjadi pusat pembangunan modal insan dan inovasi pertanian di negeri ini.

Dr Stephen Rundi menyifatkan penubuhan kampus tersebut sebagai langkah strategik untuk membawa pendidikan tinggi berkaitan pertanian lebih dekat kepada rakyat Sarawak.

“Ini adalah mimpi kita. Sekurang-kurangnya kita ada institusi yang kita boleh banggakan. Dari sini kita boleh rancang keperluan sebenar negeri dalam sektor pertanian,” jelasnya.

UPM Sarawak ujarnya diharap dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik ilmu pertanian moden, malah mampu menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan dan keusahawanan berdaya saing.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben, Setiausaha M-Ficord, Datu Sirai Daha, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS