KOTA SAMARAHAN: Edisi ke-5 Pesta Simunjan bakal berlangsung penuh meriah selama empat hari bermula 2 hingga 5 Oktober 2025 bertempat di Pekan Simunjan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, dalam satu sidang media khas Penganjuran Pesta Simunjan 2025 yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Samarahan pada Selasa.
Menurut beliau, pesta dwi-tahunan itu dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung dengan lebih 20 program dan aktiviti pelbagai segmen disusun khas untuk menarik penyertaan semua lapisan masyarakat.
“Antara tarikan utama adalah Pertandingan Regatta Pesta Simunjan yang bakal berlangsung di tebingan Sungai Batang Sadong.
"Sebanyak enam kategori perlumbaan akan dipertandingkan dengan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan RM75,500, termasuk ganjaran utama RM20,000 untuk gelaran ‘Raja Sungai Pesta Simunjan 2025’,” jelas Awla.
Selain sukan air, antara acara yang mencuri tumpuan ialah Bike Gathering, yang menurut Awla berjaya menarik penyertaan luar negara termasuk dari Brunei Darussalam, Pontianak (Indonesia), Sabah serta dari Kuching dan Samarahan.
“Brunei menghantar sekitar 100 peserta, manakala dari Pontianak, Indonesia pula melibatkan lebih 280 buah motosikal berkuasa tinggi,” ujar beliau lagi.
Pesta Simunjan 2025 turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti Showcase Muaythai (pertama kali diadakan), Simunjan Kitchen, Pertandingan Ratu Pesta Simunjan, Pertandingan Battle of the Band, Pertandingan Futsal Terbuka, e-Sukan & Sukan Rakyat, Pertandingan Masakan Tradisional, Kek Legend & Bingka, Fashion Show & Mewarna Kanak-Kanak, Mini Karnival Kesihatan, Pentarama serta Persembahan Artis tempatan dan kebangsaan.
Majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 3 Oktober 2025.
Majlis itu turut menyaksikan Pelancaran Rasmi “Simunjan Kitchen”, sebuah platform mempromosikan keunikan kulinari tempatan Simunjan.
Kemuncak acara berlangsung pada 5 Oktober 2025 dengan perlumbaan Bidar 30 Pekayuh Lelaki, disusuli majlis penangguhan yang dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Konsert Malam Penutupan di Pentas Rakyat, yang menampilkan artis popular tanah air serta bakat tempatan akan menutup tirai Pesta Simunjan 2025 dengan penuh gemilang.
“Pesta Simunjan bukan sahaja acara hiburan semata-mata, malah berperanan besar dalam memperkasakan budaya tempatan, merancakkan ekonomi setempat dan menyatukan komuniti,” tambah Awla sambil menyeru orang ramai untuk hadir beramai-ramai ke pesta ini.
Hadir sama dalam sidang media tersebut adalah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad.-EDISI UKAS