Sistem Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak Mudahkan Permohonan Status Bumiputera

Disiarkan pada 17 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Sistem Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak (SARAS) yang dilancarkan September lalu merupakan satu langkah penting ke arah proses yang lebih telus, pantas dan mesra rakyat, sekali gus memudahkan permohonan pengiktirafan status Bumiputera.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pelaksanaan sistem tersebut juga mampu menangani masalah dan kesulitan yang dihadapi rakyat, terutamanya apabila takrifan ‘anak negeri’ sebelum ini dianggap kurang adil dan menyukarkan proses pengiktirafan.

“Sebelum pindaan perlembagaan, ramai yang terlepas peluang untuk diiktiraf sebagai anak negeri disebabkan takrifan yang terlalu ‘rigid’.

“Dengan pindaan dan pelaksanaan SARAS, proses permohonan lebih mudah, adil dan telus, sesuai dengan undang-undang dan kepentingan rakyat Sarawak,” katanya dalam Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak Bahagian Miri, di Pejabat Residen Miri pada Selasa.

Selain Datuk Gerawat, seramai 106 orang penerima sijil pengiktirafan Bumiputera Sarawak juga diberi sijil masing-masing melibatkan Daerah Miri, Marudi dan Beluru.

Antara syarat yang ditetapkan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan merupakan anak kandung sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa yang berasal dari Sarawak.

Anak angkat tidak layak diberi pengiktirafan yang sama.

Bagi memastikan proses permohonan lebih mudah dan pantas, rakyat boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi Portal Rasmi Service Sarawak (SARAS) yang telah bermula sejak 2 September 2024 dengan bayaran proses RM100.

Sistem digital yang lebih terbuka dan telus ini juga dilihat mampu menjaga kepentingan dan memberikan keadilan yang lebih luas demi masa depan rakyat Sarawak.-EDISI UKAS