Showcase Usahawan Sarawak@ Bintulu Berlangsung 26 Hingga 29 Jun Ini

Disiarkan pada 17 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Penduduk Bintulu dan kawasan sekitarnya dipelawa hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Showcase Usahawan Sarawak (SUS) @ Bintulu 2025 yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 Jun ini bertempat di Times Square Megamall Bintulu.

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.

Showcase ini bertujuan untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan selain menjadi platform strategik bagi memperluas rangkaian perniagaan dan memperkenalkan inovasi baru kepada orang ramai.

Sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan termasuk jualan dan pameran produk usahawan tempatan, jualan makanan dan minuman, demonstrasi produk secara langsung oleh para usahawan serta aktiviti berbentuk pertandingan seperti nyanyian, mewarna, zumba dan banyak lagi.

Selain itu, para pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang akan diadakan sepanjang tempoh program.

SUS bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan untuk mempromosi dan menjual produk mereka, malah turut memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat melalui penyertaan aktif komuniti.

Orang ramai dijemput untuk tidak melepaskan peluang menyertai acara tahunan ini yang menjanjikan pengalaman bermanfaat dan penuh keceriaan. -EDISI UKAS