Saringan Awal Kanser Usus Mampu Selamatkan Nyawa

Disiarkan pada 17 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Pengesanan penyakit kanser usus pada peringkat awal mampu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko komplikasi serius.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, saringan awal terhadap risiko kanser usus dalam kalangan lelaki dan wanita amat penting kerana penyakit ini boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal, berbanding jika hanya dikenal pasti pada tahap tiga atau empat yang mempunyai kadar risiko lebih tinggi.

“Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kanser usus adalah antara lima jenis kanser paling tinggi di negara ini, selain kanser payudara, serviks dan paru-paru yang kebanyakannya menyerang kaum wanita.

“Namun begitu, kesemua penyakit ini boleh diubati sekiranya dikesan awal melalui saringan berkala seperti yang dijalankan dalam program kesedaran ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Kolorektal Kampung Pichin, di sini, pada Isnin.

Tambah beliau lagi, saringan awal membantu individu mengetahui status kesihatan mereka lebih awal berbanding hanya menyedari gejala atau simptom yang sering kali muncul apabila penyakit telah berada pada tahap serius, iaitu tahap tiga atau empat.

Dr Simon turut menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat secara menyeluruh, termasuk pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal yang berterusan sebagai langkah pencegahan tambahan terhadap penyakit berbahaya seperti kanser.

Selain kempen, program ini juga menyertakan beberapa aktiviti sampingan seperti pameran pendidikan berkaitan kanser kolorektal oleh pasukan Pembedahan Kolorektal dan Stoma, saringan kanser usus, aktiviti permainan, pertandingan mewarna, pendidikan kesihatan usus, penerangan tentang peralatan pembedahan, pendidikan stoma serta Kempen Blue Ribbon.

Dr Simon berharap agar program kesedaran seperti ini dapat diperluaskan lagi pada skala yang lebih besar dan melibatkan lebih ramai penduduk kampung pada masa akan datang supaya kesedaran terhadap penyakit kanser dapat disebarkan secara menyeluruh dan berterusan. -EDISI UKAS