KUCHING: Idea untuk memperkenalkan ‘Diplomasi Orang Utan’ kepada negara-negara pembeli sawit di Malaysia bukan suatu langkah yang baik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Orang Utan sememangnya spesies yang amat dilindungi bukan sahaja di Sarawak malah di Malaysia dan Indonesia, maka adalah tidak wajar untuk dijadikan sebagai barangan transaksi kepada negara luar.
“Secara pribadinya, saya melihat sama ada itu benar bahawa cara kita ingin mempunyai diplomasi seperti itu di mana memberikan Orang Utan kita yang merupakan haiwan yang benar-benar dilindungi di sini bukan sahaja di Sarawak, Malaysia tetapi juga di Indonesia, itu mungkin bukan satu langkah yang sangat bagus.
“Kita menjaga Orang Utan kita dengan baik di mana kita sentiasa boleh mempamerkan mereka (Orang Utan) dalam promosi kita dan bagaimana kita menjaga mereka, bagaimana kita cuba untuk memastikan bahawa habitat Orang Utan tidak dirosakkan oleh semua penebangan pokok, ladang dan perkara-perkara seperti itu. Tetapi tidak sampai kita memberi Orang Utan kita kepada orang lain,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Bengkel Kelestarian Destinasi Pelancongan Sarawak di Kuching pada Isnin.
Jelas beliau lagi, habitat untuk Orang Utan terkenal hanya di Kepulauan Borneo, dibiarkan hidup secara liar dan bukannya dikurung di dalam sangkar mahupun zoo.
“Lihatlah habitat yang betul untuk Orang Utan adalah Borneo dan sekiranya anda berikan Orang Utan kepada negara lain, ianya tidak begitu bagus.
“Tempat terbaik untuk haiwan jenis ini adalah di habitat semulajadi mereka, bukan di zoo, bukan di dalam sangkar,” jelasnya lagi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Noor Ahmad Hamid, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dato Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor. -EDISI UKAS