DARO: Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Ahmad Nadzri Mohd Hassan telah mengadakan Program Lawatan Kualiti ke beberapa lokasi penting di Daerah Matu dan Daro pada Ahad.
Lawatan ini turut diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Lawatan ini bertujuan meninjau status kemudahan awam dan projek pembangunan di kawasan luar bandar serta memberi perhatian terhadap keperluan segera penduduk setempat.
Lokasi pertama yang dikunjungi ialah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro yang didapati dalam keadaan usang dan tidak lagi memenuhi keperluan operasi semasa.
Dalam sesi taklimat bersama pihak polis, Dato’ Ahmad Nadzri menyatakan keperluan mendesak untuk membina semula IPD tersebut demi memastikan keselamatan dan keselesaan anggota polis serta masyarakat setempat terjamin.
Seterusnya, rombongan melawat ke tapak Projek Bina Semula Bangunan SK Tebaang yang telah siap sepenuhnya dan kini menunggu arahan rasmi untuk digunakan.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut memuji komitmen kontraktor dan agensi pelaksana yang berjaya menyiapkan projek mengikut jadual.
Lokasi ketiga lawatan ialah Bangunan Baharu SK Bawang Tian di Matu yang kini sedang giat dibina.
Dato’ Ahmad Nadzri menzahirkan harapan agar projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya dan mematuhi piawaian kualiti yang ditetapkan agar dapat dimanfaatkan oleh murid dan warga sekolah sebaik sahaja siap kelak.
Program lawatan rasmi tersebut diakhiri dengan jamuan makan malam bersama ketua-ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan di Daerah Matu dan Daro.
Majlis santai ini membuka ruang perbincangan tidak formal antara pihak persekutuan dan agensi tempatan bagi memperkukuh hubungan kerjasama dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Lawatan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur dan pendidikan di kawasan luar bandar terus diberi perhatian selaras dengan agenda pembangunan seimbang di seluruh negeri Sarawak. - EDISI UKAS