BETONG: Seramai 22 orang pelajar cemerlang menerima insentif pelajar cemerlang SPM 2024 dan melanjutkan pelajaran ke IPT bagi kawasan DUN Bukit Saban
Daripada jumlah itu, 13 merupakan penuntut ijazah yang menerima RM1500 seorang, 6 pelajar diploma menerima RM1000 seorang dan 3 pelajar SPM 2024 yang memperolehi 8A dan 9A (dan menerima RM2000 seorang.
Insentif pendidikan tersebut disampaikan sendiri oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Isnin.
Majlis ini adalah siri ke-2 selepas di Kuching melibatkan 18 orang pelajar terdiri daripada 12 penuntut ijazah dan 6 pelajar diploma yang berasal dari konstituensi beliau.
Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Amar Douglas berkata insentif pendidikan ini adalah untuk membantu dan memberi motivasi kepada para pelajar apabila mereka melangkah ke IPT kelak.
Katanya, dunia moden hari ini amat memerlukan insan yang berpendidikan dan berkemahiran di dalam meningkatkan taraf hidup.
“Peluang pekerjaan di masa hadapan banyak berkisar dengan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). Bermula tahun hadapan, Kerajaan Sarawak akan menyediakan pendidikan percuma di beberapa IPT milik Sarawak juga menumpukan bidang STEM.
“Anak-anak kita di luar bandar juga mempunyai potensi seperti anak-anak di bandar. Apa yang perlu adalah komitmen pihak sekolah, ibu bapa dan anak-anak sendiri di dalam melipatgandakan usaha,” katanya.
Justeru jelasnya, beliau akan sentiasa menyokong program di dalam memperkasakan STEM bermula dari asas di sekolah rendah hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Premier Sarawak yang telah meluluskan cadangan untuk membina sebuah Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di sini.
Katanya, dengan adanya sekolah itu nanti bersama MRSM Betong akan melengkapkan lagi sektor pendidikan di kawasan itu. - EDISI UKAS