Pembangunan Infrastruktur Di Semop Terus Diperkasa

Disiarkan pada 16 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SEMOP: Pembangunan prasarana asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi di kawasan luar bandar khususnya di DUN Semop dan Parlimen Tanjong Manis merupakan satu tanggungjawab besar yang juga boleh dianggap sebagai satu bentuk jihad demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata meskipun proses pembangunan mengambil masa, pelaksanaannya tetap akan diteruskan secara berfasa dengan kerjasama erat antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebagai wakil rakyat, kita perlu adil dalam pembahagian peruntukan tanpa mengira bangsa, agama atau kawasan.

“Yang penting adalah usaha berterusan, dan hari ini kita lihat satu contoh, iaitu perasmian dewan baharu di Sungai Kelai oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 DUN Semop yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sungai Kelai dan Rumah Wun, Berkakong pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 300 buah rumah di RGC Semop akan mula diduduki pada tahun hadapan, dan dijangka menyebabkan pertambahan kenderaan dan kesesakan di jalan-jalan utama termasuk kawasan Sungai Kelai, Kampung Sedi dan Sebako.

Sebagai penyelesaian, satu jalan alternatif sedang dirancang bagi menghubungkan kawasan tersebut tanpa melalui RGC.

Selain itu, beberapa projek pembangunan lain turut dirancang antaranya pembinaan dewan masyarakat bernilai RM8.6 juta, pasar tani dan medan selera bernilai RM6.5 juta, serta perancangan pembinaan balai polis dan pembukaan klinik kesihatan baharu.

Program anjuran Pusat Khidmat Semop itu dihadiri lebih 300 orang dan turut disertai Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia, Ir Yusuf Abdul Wahab.

Hadir sama Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum, Tuai-tuai Rumah serta penduduk setempat.-EDISI UKAS