KUCHING: Barisan pemain sepak takraw terbaik dari seluruh Sarawak bakal berentap untuk memburu kejuaraan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan, dari 18 hingga 22 Jun ini.
Menurut Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Dato Ismail Abang Saufi, sebanyak 10 bahagian mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini iaitu Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.
Katanya, empat kategori akan dipertandingkan iaitu berpasukan lelaki (3 regu), regu lelaki, regu belia lelaki dan regu wanita.
"Kejohanan dwitahunan ini merupakan aktiviti tahunan PSS dalam usaha berterusan kita untuk memperkasakan sukan sepak takraw di Sarawak.
“Pada edisi kali ini, Kota Samarahan diberi mandat untuk menjadi tuan rumah bermula dari 18 hngga 22 Jun ini di Stadium Tertutup Kota Samarahan.
"Kita menjangkakan saingan sengit kerana kesemua 10 bahagian terlibat menyenaraikan pemain berpengalaman dan bakat baharu," ujar beliau dalam sidang media Kuching pada Isnin.
Katanya lagi, kejohanan tersebut juga akan menjadi platform untuk mencari pemain mewakili Sarawak pada SUKMA 2026 di Selangor.
Dengan menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM20,000, kejohanan kali ini dijangka akan menampilkan aksi sengit dari semua pasukan yang mengambil bahagian.
Tambahnya lagi, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka perasmikan pentupan kejohanan itu nanti.
Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 dianjurkan oleh PSS dan mendapat sokongan Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Sementara itu, Timbalan Presiden PSS, Nizam Wang yang juga Pengerusi Kejohanan menyeru peminat sepak takraw untuk memenuhi Stadium Tertutup Bahagian Samarahan bagi memeriahkan kejohanan kali ini.
"Kemasukan adalah percuma dan tiada bayaran dikenakan kepada sesiapa yang ingin menyaksikan setiap perlawanan," jelasnya yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (PSTBS). - EDISI UKAS