UNIMAS Tawar 98 Kursus Percuma Sempena NTW 2025

Disiarkan pada 16 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui UNIMAS Business School menawarkan 98 kursus pembelajaran sepanjang hayat secara percuma kepada masyarakat awam bersempena dengan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025.

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, penawaran kursus ini adalah hasil kerjasama bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sejak tahun 2023, yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Dari tahun 2023, kita menawarkan kursus percuma selama satu minggu selama tiga bulan yang bermula dengan 35 kursus. Tahun 2024 meningkat kepada 55 kursus, dan tahun ini kami sediakan 98 kursus – bukan sahaja kepada warga Malaysia, tetapi juga warga ASEAN yang mana mereka bolehkan mendaftar dalam kursus-kursus percuma itu dalam satu minggu ini.

“Ini mencerminkan peranan aktif UNIMAS dalam menjadikan pembelajaran boleh diakses merentas sempadan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Rakan Kongsi Berimpak Tinggi Sempena NTW 2025, di UNIMAS, pada Isnin.

Beliau menegaskan, pelaksanaan inisiatif ini tidak hanya memberi peluang kepada mereka yang sedang bekerja, malah terbuka kepada pencari kerja, pelajar, belia serta golongan warga emas.

“Kita berharap kursus-kursus ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja masa kini.

“Ini juga membantu transformasi bukan hanya individu, tetapi organisasi dan syarikat mereka,” ujarnya.

Profesor Dr. Ahmad Hata turut menyatakan komitmen UNIMAS untuk terus memperluaskan kandungan dan capaian kursus percuma ini pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Wilayah Sarawak HRD Corp, Tuty Bujang menegaskan bahawa NTW menyasarkan penyertaan daripada seluruh peringkat umur.

“Matlamat utama NTW ialah memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam agenda pembelajaran sepanjang hayat.

“Semua orang boleh terlibat, daripada peringkat tadika hinggalah warga emas. Semuanya percuma,” jelas beliau.

Pelbagai kursus ditawarkan termasuk dalam bidang digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran hidup, kreativiti dan inovasi, automasi, kewangan serta pembangunan mampan, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

NTW 2025 merupakan inisiatif nasional di bawah KESUMA dan HRD Corp bagi memperluas peluang latihan kemahiran dan pendidikan percuma kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.-EDISI UKAS