KUCHING: Kemudahan jeti di Kampung Sejijak dan Kampung Paroh dicadangkan untuk dinaik taraf sebagai langkah strategik bagi menyokong penganjuran Pesta Regata Sejijak serta memperkasa sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, inisiatif menaik taraf prasarana seperti jeti bukan sahaja akan memberi impak positif terhadap kelancaran acara regata tahunan yang semakin berkembang, serta berpotensi besar dalam merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
“Kita mengharapkan infrastruktur, terutama sekali jeti ini, dapat diperbaiki dan dinaik taraf agar mampu memberi impak lebih baik dalam penganjuran Regata Sejijak.
“Ia bukan sahaja menyokong aspek teknikal dan logistik acara, tetapi juga berupaya menarik lebih ramai pelawat luar ke Kampung Sejijak dan Kampung Paroh,” katanya semasa berucap dalam majlis penangguhan Pesta Regatta Sejijak 2025 di Kampung Sejijak di sini, pada Ahad.
Dato Fazzrudin menambah, peserta dan pasukan regata biasanya mula berkampung di kawasan sekitar sungai seawal seminggu sebelum perlumbaan bagi menjalani latihan dan persiapan yang mana keadaan ini menuntut kemudahan yang lebih sistematik dan selesa.
Beliau turut menzahirkan harapan agar kerajaan dapat mempertimbangkan penyediaan fasiliti jangka panjang demi menjamin keselesaan peserta serta menarik lebih banyak penyertaan dari dalam dan luar negara.
Dalam masa sama, Dato Fazzrudin yang juga Pengerusi Regata Sejijak 2025 memaklumkan bahawa Kampung Paroh kini semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan aktiviti memancing, khususnya dalam kalangan pelancong dari Singapura.
“Setiap hujung minggu, kita menerima kehadiran pemancing tegar dari Singapura yang datang ke Kampung Paroh pada hari Jumaat dan pulang pada Ahad. Ikan hasil tangkapan mereka pula dihantar pulang melalui perkhidmatan pos,” jelas beliau.
Aktiviti tersebut, katanya, membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan menerusi penyediaan perkhidmatan sokongan.
Majlis Penangguhan Pesta Regata Sejijak 2025 telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sekali gus menandakan penutupan rasmi pesta tahunan tersebut.
Sejurus selepas majlis, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bersama tetamu kehormat lain turut berkesempatan menyaksikan perlumbaan Raja Sungai Antarabangsa Terbuka Piala YAB Premier Sarawak dari Jeti Pengkalan Kampung Sejijak.
Penganjuran Regata Sejijak kali ke-15 ini yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sejijak dengan kerjasama Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pemuda dan Wanita PBB DUN Tupong, serta Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya.
Turut hadir dalam majlis penangguhan berkenaan ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak Datu Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Dr. Zaiedi Suhaili, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Kaunselor Tan Kai serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS