SANTUBONG: Kerajaan sama ada Persekutuan mahupun negeri akan terus membantu pelajar untuk mengatasi masalah tekanan ketika belajar agar tidak terlalu stres hingga mampu membawa kemudaratan kepada diri dan keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai program termasuk program advokasi melibatkan pelbagai agensi-agensi kerajaan.
Jelasnya, ini terutamanya penting mendengar maklum balas terutamanya daripada ahli keluarga terdekat, rakan-rakan dan mahupun orang terdekat.
"Ada perkara yang kita tidak tahu mengenai pelajar yang terkena tekanan emosi sehinggalah mendengar maklum balas daripada orang terdekat.
"Ada disebabkan oleh percintaan, ada juga disebabkan tekanan ekonomi dan kewangan maka ini semua perlu ditangani dan kami di sini tanganinya melaluk program-program yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam satu sidang media selepas Kem Kapten Keluarga Sempena Hari Bapa 2025 di Damai Escape Park di sini pada Ahad.
Di samping itu, Ahli Parlimen Santubong itu menggalakkan pelajar untuk sentiasa bergaul dan berkawan agar ada tempat bergantung dari segi komunikasi dan nasihat.
Manakala sekiranya tekanan kewangan ujarnya, Kerajaan Persekutuan mahupun negeri banyak memberikan bantuan kewangan untuk membantu pelajarnya.
"Kalau di Sarawak lagi, banyak dia punya bantuan untuk pelajar dan komuniti di mana banyak lagi diberi oleh kerajaan Sarawak
"Jadi itulah yang kita harapkan agar mereka ada kesedaran untuk bercakap dengan kawan, bercakap dengan saudara kita mahupun orang terdekat," jelasnya. -EDISI UKAS