Cabaran Galas Tanggungjawab Keluarga Dalam Dunia Moden

Disiarkan pada 15 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


SANTUBONG: Sembilan daripada 10 bapa di negara ini mengakui berdepan tekanan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, khususnya dalam persekitaran dunia moden yang dipacu teknologi dan digitalisasi masa kini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada tekanan yang dihadapi oleh para bapa, antaranya kos sara hidup yang meningkat, beban kerja, kebimbangan terhadap masa depan keluarga serta kesukaran membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

“Semuanya sering kali tidak terlihat oleh mata kasar. Ramai bapa memikul tekanan dalam diam berusaha membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

“Dalam dunia digital hari ini, mereka turut memikul tanggungjawab untuk menjadi contoh serta membimbing anak-anak menghadapi cabaran dunia maya yang penuh risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Kem Kapten Keluarga Sempena Hari Bapa 2025 yang berlangsung di Damai Escape Park, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dato Sri Nancy menjelaskan bahawa kementeriannya melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menyediakan Modul Keibubapaan bagi membantu para ibu bapa menangani cabaran semasa dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Ahli Parlimen Santubong itu turut menyeru agar ibu bapa terus memainkan peranan aktif dalam membentuk generasi masa depan yang lebih cemerlang.

“Segala tingkah laku dan amalan seharian ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak. Oleh itu, sebaiknya elakkan penggunaan kata-kata negatif dalam rumah tangga kerana ia akan mempengaruhi pembentukan sikap dan nilai dalam diri anak-anak,” ujarnya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan yang melibatkan penyertaan bapa dan anak-anak, sekali gus mengangkat peranan bapa sebagai ‘kapten utama’ dalam institusi kekeluargaan. – EDISI UKAS