Hari Bersama Komuniti UNIMAS Perkukuh Jalinan Universiti & Masyarakat

Disiarkan pada 15 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


LUBOK ANTU: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Lubok Antu telah menganjurkan Program Hari Bersama Komuniti, sebagai sebahagian daripada Kursus MPU Kurikulum Berkredit yang dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS.

Program yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau yang mewakili Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh merupakan platform pelaksanaan tugasan lapangan oleh mahasiswa Tahun 1 Semester 2, yang diwajibkan bagi melengkapkan kursus tersebut.

Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat di samping menyediakan ruang kepada komuniti kampung untuk mengembangkan bakat serta ekspresi kreatif melalui pelbagai aktiviti seni dan program interaktif.

Selain memberi impak positif kepada masyarakat setempat, inisiatif ini turut membentuk kemahiran insaniah mahasiswa, khususnya dalam aspek kepimpinan, pengurusan program, serta semangat kerjasama dan kesukarelawanan.

Program ini turut mendapat sokongan dan penglibatan aktif daripada pelbagai pihak termasuk komuniti Lubok Antu serta warga akademik dan pentadbiran UNIMAS yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini.

Program ini membuktikan komitmen UNIMAS dalam menjadikan pembelajaran sebagai alat transformasi sosial, di samping menyemai nilai kemasyarakatan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda Sarawak. -EDISI UKAS