Kampus Baharu Kolej Profesional MARA Kapit Bakal Jadi Pemacu Pendidikan Luar Bandar

Posted on 15 Jun 2025
Source of News: ukas


KAPIT: Penubuhan Kampus Baharu Kolej Profesional MARA (KPM) di Kapit merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kawasan luar bandar tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan.

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata pembinaan kampus tersebut merupakan antara inisiatif penting kerajaan dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada belia luar bandar serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Kolej Profesional MARA Kapit ini adalah antara inisiatif kerajaan dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak luar bandar.

“Ia bukan sahaja membuka peluang tetapi menjadi pemacu pembangunan modal insan di kawasan pedalaman seperti Kapit,” katanya semasa Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembinaan Kampus Baharu Kolej Profesional MARA (KPM) Kapit yang diadakan di Dewan Suarah Kapit pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Jefferson Jamit Unyat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan; dan Setiausaha Politik di Jabatan Premier Sarawak, Watson Awan.

Projek bernilai RM79 juta ini akan dilaksanakan oleh syarikat Wangi Marine Services Sdn. Bhd. sebagai kontraktor yang dilantik.

Menurut Dato Sri Alexander, projek berkenaan diharap dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal tanpa sebarang permohonan lanjutan masa.

“Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berintegriti tanpa sebarang kompromi terhadap kualiti, spesifikasi, keselamatan dan jadual.

“Ini adalah amanah besar. Pastikan tiada kemalangan di tapak, dan segala pelaksanaan dibuat dengan penuh tanggungjawab,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), MARA dan kontraktor utama agar terus bekerjasama rapat dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.

Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR), kampus baharu ini dijangka siap sepenuhnya pada 5 Disember 2029 dan bakal menampung sehingga 300 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antara program yang ditawarkan termasuk Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Pengurusan Perladangan dan Diploma Teknologi Maklumat.

Tapak projek terletak di atas Lot 15, Seksyen 22 (Ibau Land) dengan keluasan 49.4 ekar, iaitu kira-kira 15 kilometer dari Pekan Kapit dan 167 kilometer dari Bandar Sibu.

Pembinaan kampus ini turut menyokong aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI dalam memperluas pembangunan secara menyeluruh ke kawasan luar bandar serta memperkukuh ekuiti sosial dan ekonomi rakyat.

Inisiatif ini juga seiring dengan matlamat Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), sebuah pelan pembangunan strategik yang dilancarkan sejak 2008 dan dijangka menghasilkan 1.6 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.-EDISI UKAS