Dato Mohd Chee Raikan Gawai Bersama Komuniti Iban Di Kabong

Disiarkan pada 14 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


KABONG: Majlis Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong berlangsung meriah di Dewan LAKIN, Nyabor pada Sabtu, menghimpunkan lebih 500 penduduk tempatan bagi meraikan semangat perpaduan dan warisan budaya masyarakat Iban.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, hadir menyempurnakan majlis berkenaan yang dianjurkan oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan DUN Kabong dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kabong.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis jemputan Eyqa Saiful, di samping pelbagai juadah tradisional yang disediakan oleh komuniti setempat.

Kemuncak acara adalah Upacara ‘Ngetas Ranyai’, iaitu simbolik memotong buah dan hiasan dari pokok ranyai, yang telah disempurnakan oleh Dato Mohd Chee.

Tradisi ini menjadi lambang kemakmuran, perpaduan dan semangat gotong-royong masyarakat Iban sempena sambutan Gawai.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, dan Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steave Miller Nuas.-EDISI UKAS