KUCHING: Penganjuran ArtPop 2025 oleh SEN’s Modern Art Museum disifatkan sebagai sebuah inisiatif berimpak tinggi yang menyatukan golongan artis, usahawan dan komuniti dalam landskap pembangunan negeri yang inklusif dan progresif.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, acara seumpama ini bukan sekadar pameran seni, tetapi merupakan platform dinamik yang mendekatkan pelbagai lapisan masyarakat melalui pendekatan kreatif dan kontemporari, seiring kemajuan Sarawak sebagai sebuah negeri moden dan berpandangan jauh.
“Ini bukan hanya acara ‘pop-up art’. Ia adalah simbol pembangunan komuniti yang berteraskan seni, budaya dan keusahawanan yang penting dalam pembinaan negeri kita,” katanya ketika merasmikan pembukaan ArtPop di Concourse Area, Tropics City di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim menambah, penganjuran ArtPop menjadi bukti bahawa pembangunan negeri bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal atau ekonomi, malah turut memberi ruang kepada ekspresi kreatif dan semangat kebersamaan rakyat.
“Saya difahamkan selain artis dan usahawan, ada juga pelbagai aktiviti lain seperti pertunjukan haiwan peliharaan, pameran supercar, bengkel kreatif, pasar komuniti dan persembahan budaya.
“Acara ini bukan sahaja meriah, malah mencerminkan jiwa bandar moden yang kita bentuk bersama — meriah dengan seni, budaya dan interaksi komuniti,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, Sarawak masa kini jauh berbeza daripada apa yang digambarkan satu dekad lalu, dan ArtPop menjadi antara simbol perubahan tersebut — negeri ini kini dikenali sebagai wilayah yang kreatif, inklusif dan menyokong semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Sarawak 2025 bukan lagi Sarawak 2015. Dulu ada yang menyangka kita hanya tinggal di rumah atas pokok. Hari ini, kita ada muzium moden, seni kontemporari dan komuniti kreatif yang berkembang pesat.
“Kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, tetapi hasil usaha kolektif rakyat Sarawak yang memainkan peranan masing-masing dengan cemerlang,” tegas beliau.
ArtPop berlangsung selama empat hari, menampilkan lebih 50 penyertaan merangkumi artis baharu, pembuat kraftangan tempatan, usahawan kreatif dan vendor makanan jalanan Sarawak yang menawarkan pelbagai sajian autentik dan produk inovatif.
Platform ini dikendalikan sepenuhnya oleh SEN’s Modern Art Museum, dan disifatkan sebagai ‘permainan kreatif’ yang menyatukan bakat tempatan dengan khalayak secara santai, meriah dan mendidik.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang, Ketua Pegawai Eksekutif SEN’s Modern Art Museum dan CEO ArtPop 2025, Nana Jap Li Ping, Ketua Pegawai Operasi Dexton Sim Eng Hee, Ketua Pegawai Kewangan Wendy Wong Jean Wen, serta Pengasas Monsuta Bites, Enes Tan Siew Fei.-EDISI UKAS